Astro raih RM3.1 bilion, meningkat 11%
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Astro Malaysia Holdings BHd. (Astro) mencatat peningkatan hasil RM 3.1 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama, meningkat 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rohana Rozhan berkata, peningkatan hasil tersebut disokong oleh peningkatan pelanggan baharu sebanyak 278,000, menjadikan jumlah semasa sebanyak 3.34 juta pelanggan.
"Hasil purata setiap pelanggan (ARPU) juga meningkat enam peratus kepada RM92 untuk tempoh berkenaan hasil nilai tambah, pelaburan pengisian dan inovasi.
"Atas kejayaan tersebut, Astro mengumumkan dividen sebanyak 1.5 sen sesaham dan akan dibayar mulai 11 Januari 2013," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pengumuman prestasi kewangan suku ketiga, di sini hari ini.
Astro menyasarkan semua pelanggannya akan menggunakan platform Astro B.yond menjelang 2014 dan setakat ini hanya 1.8 juta pelanggannya menggunakan platform berdefinisi tinggi berkenaan.
Kos kandungan Astro untuk tempoh berkenaan telah meningkat satu peratus kepada 31 peratus berbanding tempoh sama sebelum ini berikutan bidaan kandungan baharu dan perbaharui kontrak.
Sementara itu, ditanya mengenai nilai bidaan Astro bagi memperoleh hak penyiaran Barclays Premier League (BPL), Rohana enggan mendedahkan dan menjelaskan nilainya masih di bawah bajet.
"Kami tidak boleh mendedahkan pelaburan yang telah dibuat. Kami berpuas hati apabila bidaan kami diterima untuk tempoh tiga musim dan itu lebih penting," jelasnya.
Rozana juga menolak spekulasi bahawa kos kandungan Astro meningkat mendadak berikutan bidaan berkenaan dan menjelaskan bidaan tersebut dibuat untuk musim depan dan perkiraan kos boleh dibuat ketika itu.
"Separuh daripada pelanggan kami melanggan kandungan sukan. Oleh itu, menjadi keutamaan untuk kami memperoleh hak penyiaran BPL di Malaysia," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Astro turut mengumumkan pakej IPTV menerusi pakej Maxis Fibre akan dimulakan pada suku keempat dan menerusi pakej TM pada suku pertama 2013.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/2...1#ixzz2EKKV1oDM © Utusan Melayu (M) Bhd