As Sahar tutup tirai konsert metal 2008
KUMPULAN metal terkenal dari Singapura, As Sahar akan menjadi kumpulan penutup tirai konsert metal untuk tahun ini yang akan diadakan di Dewan MCPA, Kuala Lumpur pada 27 Disember ini bermula pukul 2 petang.
Kumpulan trio yang ditubuhkan 21 tahun lalu itu akan mengubat rindu para peminat selepas lama tidak beraksi di ibu negara terutama selepas menghasilkan album terbaru mereka yang berjudul Jaann.
Menurut vokalis dan gitaris As Sahar, Barchiel, dia dan kumpulannya tidak akan melepaskan peluang mengadakan persembahan itu kelak termasuklah dengan seleksi lagu-lagu yang dipetik menerusi album-album terdahulu mereka.
"Kami pun sudah lama tidak datang ke Kuala Lumpur, apatah lagi untuk mengadakan persembahan kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing. Maklumlah, kami bukannya bermain muzik sepenuh masa," katanya.
Selain Barchiel, kemunculan As Sahar yang turut dianggotai oleh Hanael selaku pemain bass dan Akhzareth (dram) itu tentunya amat dinanti-nantikan oleh para peminat metal tempatan yang sekian lama mengikuti perkembangan kumpulan tersebut.
Ini kerana, sejak ditubuhkan pada 1987, As Sahar telah menghasilkan banyak demo tape selain album dan EP yang keseluruhannya berjumlah 11 buah hasil terbitan mereka sendiri.
Antara album dan EP yang dihasilkan oleh mereka berjudul Phenomistik, Buku Karama, Ekstasi Tektonis, Bomohymns Okultika, Intifada, Al-Rischa dan Devillation of Syonan-To.
Apatah lagi kata Barchiel, kemunculan mereka kelak akan diserikan lagi dengan lima buah kumpulan metal yang kini sedang mencipta nama dalam persada muzik tempatan.
Lima kumpulan metal yang akan mengadakan persembahan pembuka tirai pada konsert itu ialah Nefarious Azarak, Symbiotic In Theory, Sick Society, D.C.A. dan Cassarrah.
Konsert anjuran Necropapic Elite dengan kerjasama Nebiula Production itu akan mengenakan tiket berharga RM20.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y...an&pg=hi_03.htm