https://www.google.com.my/amp/s/www.hmetro....node/467573/ampSEKATAN akaun pemandu perkhidmatan e-hailing Grab adalah pilihan terakhir selepas semua langkah diambil termasuk mendapatkan penjelasan daripada penumpang dan pemandu Grab berhubung sesuatu isu.
Ketua Operasi Grab Malaysia Rashid Syukor berkata, pihaknya perlu memahami situasi yang berlaku antara kedua-dua pihak iaitu penumpang dan pemandu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Menurutnya, itu langkah yang diambil sebelum pihaknya mengeluarkan amaran, menggantung perkhidmatan dan menyekat akaun pihak yang bersalah.
“Justeru, banyak peluang yang diberikan sebelum sesuatu tindakan diambil dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan Grab,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pemantauan dan kerangka disiplin Grab amat ketat dengan mengambil kira pelbagai data sebelum sesuatu tindakan diambil.
“Data ini berdasarkan pemantauan berterusan terhadap matriks perilaku dan keselamatan selain aduan dari pelanggan,” katanya.
Katanya, bagaimanapun, sekiranya ada pemandu yang merasakan tindakan sekatan akaun mereka tidak adil, pemandu boleh membuat rayuan kepada Grab.
“Grab akan menilai setiap rayuan berdasarkan kes demi kes seperti kebiasaannya,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Komuniti Pemandu e-hailing Penggerak Malaysia (KPePM) Zulkefli Zainuddin mendakwa lebih 5,000 akaun pemandu perkhidmatan e-hailing Grab disekat tanpa diberikan peluang membela diri.
Menurutnya, antara alasan yang terima pemandu yang disekat adalah akibat penilaian yang rendah dan aduan daripada penumpang.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 3:50 PM