Kebanyakan pemandu Uber dan Grab golongan yang diberhentikan majikan lama, graduan universiti sementara mahu mendapatkan pekerjaan, pelajar univerisiti dan pesara.
uber_grab_tax_600
PETALING JAYA: Rata-rata pemandu syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan Grab membantah pengenaan cukai ke atas mereka, kerana sebahagian besarnya bekerja kerana terdesak atau untuk sementara.
Walaupun iklan menguar-uarkan skim perkongsian ini sebagai peluang pendapatan sampingan yang lumayan, seorang pemandu Uber berkata pendapatan kebanyakan pemandu Uber dan Grab sekadar “cukup-cukup makan” – selepas ditolak kos penyelenggaran, minyak, tol dan hutang bulanan kenderaan.
Malah, syarikat juga mengenakan caj komisen 20% hingga 25%.
“Berapa banyak lagi yang tinggal untuk kami,” kata Syed Rosli Jamalullail kepada FMT. “Kalau pemandu teksi tidak dikenakan cukai pendapatan kenapa pemandu Uber dan Grab hendak dikenakan?”
“Saya yakin pendapatan majoriti kami hanya RM4,000 ke bawah sahaja.”
Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Sabin Samitah berkata pemandu perkhidmatan Uber dan Grab yang bekerja separuh masa tidak terkecuali daripada mengisytiharkan pendapatan masing-masing.
Ini kerana mereka tertakluk untuk dicukai jika memperoleh pendapatan daripada perkhidmatan itu selain sumber pendapatan tetap yang melebihi minimum RM30,000 setahun.
Semalam, LHDN berkata cukai pendapatan individu yang dikenakan ke atas pemandu Uber dan Grab adalah sama seperti cukai terhadap individu yang menjalankan perniagaan lain.
Namun begitu, pemandu Uber dan Grab boleh menuntut perbelanjaan seperti kos minyak, tol, promosi serta penyelenggaraan kenderaan dalam mengira pendapatan bersih.
Bagi Rosli, kerajaan perlu mengambil kira kebanyakan pemandu Uber dan Grab golongan yang diberhentikan majikan lama, atau graduan universiti sementara mahu mendapatkan pekerjaan, pelajar universiti dan pesara.
Menurut beliau, anggaran kasar bahagian pemandu cuma sekitar RM2,000 sebulan selepas ditolak kos selenggara (RM300), minyak (RM1,500), tol (RM200) dan hutang bulanan kenderaan (RM700).
“Kami cuma ingin mencari rezeki untuk keluarga, bukan untuk menjadi kaya raya pun,” katanya.
Seorang pemandu Grab, Affendi Yusof juga tidak bersetuju mereka dicukaikan.
“Di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, maka adalah baik kerajaan tidak menindas golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Sebaliknya, kerajaan disaran menaikkan cukai terhadap golongan kaya jika benar mahu menambah pendapatan cukai.
Mulai tahun lalu, kerajaan memperkenalkan banjaran pendapatan cukai 26% untuk golongan yang meraih pendapatan antara RM600,001 hingga RM1 juta dan 28% untuk yang berpendapatan lebih daripada RM1 juta.
“Mana boleh! Kita lihat negara maju, cukai pendapatan mereka sekitar 40% hingga 60%,” katanya.
Manakala seorang lagi pemandu Grab, Mustafa Ahmad berkata golongan berpendapatan sederhana yang memandu Uber dan Grab terpinggir daripada program bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Tidak ramai yang merasainya terutama golongan sedarhana iaitu golongan yang paling terpinggir,” katanya.
Syarat kelayakan penerima BR1M 2017 adalah ketua ahli keluarga dengan pendapatan kasar bulanan isu rumah RM4,000 ke bawah, warga emas 60 tahun ke atas (RM4,000 ke bawah) dan bujang 21 tahun ke atas (RM2,000 ke bawah).
“Saya amat berharap agar kerajaan tidak mengenakan cukai kepada pemadu Uber dan Grab,” katanya.
Kementerian Kewangan 13 Ogos tahun lalu berkata pihaknya tidak bercadang mengenakan cukai ke atas pemandu Uber dan Grab, sebaliknya mengkaji sistem pencukaian ke atas platform perkhidmatan tersebut.
Ini disebabkan platform aplikasi Uber dan Grab berupaya mengaut keuntungan berjuta ringgit hasil operasi mereka, kata Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/...a-pemandu-uber/
LHDN, please have mercy on us UBER drivers
Apr 1 2017, 10:50 AM, updated 9y ago
Quote

0.0400sec
1.31
5 queries
GZIP Disabled