Cuba curi tayar kereta, pemandu Grab didenda RM1,500
Tarikh kemaskini: 13/02/2019
PETALING JAYA, 13 Feb (Bernama) -- Seorang pemandu servis e-hailing Grab yang cuba mencuri tayar sebuah kereta lama untuk dijadikan tayar simpanan kenderaannya dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Yu Siong Meng, 55, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri sebiji tayar kereta milik Ng Eng Hong, 61.
Ketika ditanya Mohamad Ikhwan mengapa dia cuba mencuri tayar itu, Ng berkata dia hendak menggunakan tayar itu sebagai tayar simpanan bagi kenderaannya.
Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta terbuka, Pangsapuri Bayu Puteri, Damansara, di sini, pada 3 petang, 1 Feb lepas mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya hendaklah dihukum dengan hukuman penjara dan sebat, dengan syarat tempoh pemenjaraan kali kedua tidak melebihi kali pertama.
Mengikut fakta kes, seorang daripada penduduk pangsapuri itu telah melihat tertuduh sedang cuba membuka tayar kereta tersebut dan sempat merakam perbuatan lelaki itu di telefon bimbit miliknya sebelum tertuduh ditahan pihak polis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Soubian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung utama keluarga.
sos:
http://www.bernama.com/state-news/beritabm.php?id=1694051