Kakitangan kontraktor Petronas Pengerang yang ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kematian 14 ahli keluarganya akibat Covid-19 berjaya meraih sumbangan sebanyak RM91,000.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek berusia 45 tahun itu, semalam selepas lelaki itu hadir sendiri ke Balai Polis Bayu Damai.
“Suspek ditahan ketika hadir sendiri di Balai Polis Bayu Damai dipercayai ingin membuat laporan ‘covering’ bagi diri suspek tentang kejadian itu.
“Siasatan juga mendapati suspek setakat ini dipercayai telah menerima sumbangan sebanyak RM91,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussin berkata, hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 itu bagi mendapatkan sumbangan derma sejak bulan Jun lalu.
Katanya, suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat juga boleh dikenakan denda.
Gets 4 years jail after pleading guilty.