Titus tak sabar nak sarung jersi negaraOleh Bazly Azmi
bazly@hmetro.com.my
PENYINGKIRAN Malaysia pada separuh akhir Piala Cabaran Grand Royal Ketiga ekoran kekalahan, 1-4 kepada tuan rumah, Myammar, kelmarin menggamit pemain berpangkalan di Perancis, Titus James Palani untuk segera kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.
Pemain kelab semi-pro Perancis, Meaux FC itu kini menanti dalam debaran keputusan mendapatkan status penduduk tetap yang dijangka dikeluarkan Pejabat Datuk Bandar Paris, minggu depan.
Bapa Titus, James Palani, berkata berdasarkan makluman anaknya, dia akan tetap pulang ke Malaysia untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki, 5-28 Disember ini - walau apapun keputusan diperolehi.
“Dia (Titus) meluahkan kekecewaan kerana kelewatan mendapatkan visa penduduk tetap hingga terpaksa menunda kepulangannya ke Malaysia. Sepatutnya perkara ini diselesaikan bulan lalu, namun masalah birokrasi membuatkan dia tidak dapat berbuat apa-apa.
“Tapi, dia sudah berjanji tetap akan pulang dan sentiasa memaklumkan perkembangan kepada jurulatih negara (B Sathianathan) melalui e-mel. Malah, kami sekeluarga turut menanti kepulangannya kerana kali terakhir dia pulang ialah Ogos lalu,” katanya.
Kekalahan Malaysia ke tangan Myammar menyaksikan skuad kebangsaan, ranking ke-151 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) hanya akan melengkapkan siri persiapan Piala AFF menerusi aksi persahabatan menentang Singapura, 29 November ini.
Undian Piala AFF menyaksikan Malaysia dijadual beraksi di Bangkok, Thailand dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Vietnam dan Laos. Kumpulan A di Jakarta, Indonesia membariskan tuan rumah, juara bertahan, Singapura, Myanmar dan Filipina.
Mengulas khabar angin mengatakan Titus belum bersedia sepenuhnya untuk mewakili negara ekoran beberapa pembatalan aksi sebelum ini, James meminta media agar tidak membuat spekulasi.
“Dia akan beraksi di Bangkok, nadanya serius dan saya mengenali sikap anak saya. Jangan bimbang, dia akan mewakili Malaysia,” katanya.
- Harian Metro -