Seludup pistol mainan membimbangkan
Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL
KANGAR 24 Sept. – Jabatan Kastam bimbang dengan kegiatan penyeludupan pistol mainan dari negara jiran yang semakin menular di negeri-negeri bersempadan dan dijual secara terbuka termasuk di kedai-kedai runcit.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Rahman Hamid berkata, pistol mainan itu mempunyai bentuk, berat dan seakan-akan senjata betul yang digunakan oleh pasukan keselamatan.
Katanya, jika senjata itu terlepas kepada pihak tidak bertanggungjawab, ia boleh disalah guna untuk tujuan yang tidak sihat termasuk bagi kegiatan rompakan.
“Semalam anggota kastam menemui pelbagai pistol itu yang dijual di sebuah kedai runcit di Jalan Sanglang, Kodiang bersama pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai lebih RM1,000.
“Pistol mainan itu ada yang menyamai senjata betul termasuk beratnya seperti pistol glock baretta dan jenis lain yang hampir sama, bayangkan jika ia terlepas kepada pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada Kastam Perlis dan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anggotanya di Kompleks Kastam Negeri di sini hari ini.
Dalam serbuan di kedai runcit di Jalan Sanglang, Kodiang, semalam seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun ditahan kerana menjual pelbagai jenis mercun dan pistol mainan tanpa permit sah daripada polis.
Sebanyak 13 pucuk pistol jenis glock dan lima pump gun mainan yang mempunyai paten seperti senjata asli dirampas dalam serbuan tersebut.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan kastam dan sabit kesalahan, boleh didenda 10 kali ganda daripada nilai rampasan atau kompaun tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Abdul Rahman memberitahu, ekoran itu beliau telah mengarahkan anggotanya agar melipat gandakan pemeriksaan dengan menumpu kepada barangan yang boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan negara.
“Saya melihat keadaan ini kritikal kerana walaupun hanya barangan mainan tetapi disebabkan ia kelihatan seperti asli dan boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan masyarakat,’' ujarnya.
Hobbies gun replica v2
Sep 25 2008, 08:29 AM
Quote
0.0232sec
0.60
7 queries
GZIP Disabled