


SELANGOR berjaya menewaskan Terengganu 2-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2007/08 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Biarpun tidak mendapat defisit gol yang selesa, Selangor berpeluang besar untuk mara ke perlawanan akhir Sabtu ini andai berjaya mengikat Terengganu pada aksi separuh akhir kedua di Kuala Terengganu Selasa ini.
Di hadapan kira-kira 5,000 penyokong setia, Selangor bagaimanapun tersentak apabila Ashari Shamsuddin berjaya menggelecek D. Surendran sebelum meledak rembatan menewaskan penjaga gol, Suffian Abdul Rahman pada minit ke-25.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama sekali gus memaksa pengurus baru Selangor, Zakaria Ab. Rahim menyuntik kembali semangat anak-anak buahnya untuk menghadapi separuh masa kedua ketika dalam bilik persalinan.
Usaha tuan rumah berhasil juga akhirnya pada minit ke-68 setelah ketua pasukan, Shukor Adan berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Elie Aiboy dari sebelah kanan untuk mengikat kedudukan 1-1.
Selangor akhirnya memperolehi gol kemenangan menerusi Safee Sali yang berjaya menolak masuk bola ke dalam pintu gol terbuka setelah kegagalan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee menangkap bola dengan kemas pada minit ke-88.
SELANGOR:
21-SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 19-D.SURENDRAN, 4-EVANS CHISULO, 26-NASRIQ BAHAROM (3-RAZMAN ROSLAN), 27-ASRARUDDIN PUTRA OMAR, 8-ELIE AIBOY, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 25-SHUKOR ADAN, 24-AMIRUL HADI ZAINAL (17-AMRI YAHYAH), 9-FRANK SEATOR (11-R.SURENDRAN), 10-SAFEE SALI.