Seramai 12 Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama beberapa wakil rakyat bebas mula menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap komposisi kerajaan negeri.
Apa yang bermula sebagai rungutan dalam kumpulan WhatsApp bertukar menjadi ledakan terbuka, dengan beberapa Adun seolah-olah mengugut pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor melalui hantaran, amaran dan isyarat politik di media sosial.
Punca utama rasa tidak puas hati dan kemarahan mereka ialah kemasukan pemimpin “parti Malaya” menganggotai barisan kabinet negeri.
Antaranya, pemimpin Umno Jafry Ariffin kini memegang portfolio pelancongan Sabah, manakala pemimpin PKR Jamawi Jaafar dilantik menteri pertanian Sabah.
Bagi mereka yang sepanjang kempen menjaja slogan “rumah kita, kita jaga”, langkah ini dilihat sebagai pengkhianatan kepada janji mewujudkan kerajaan Sabah yang dikemudi anak tempatan, bebas daripada dominasi parti nasional.
Beberapa Adun yang marah secara peribadi mendakwa gabungan itu kini “dikompromi”, dan mesej ‘Sabah didahulukan’ menjadi longgar sebaik pemimpin nasional diberi portfolio strategik.
Menambahkan lagi keperitan mereka ialah beberapa pemimpin BN – khususnya Adun Lamag, Bung Moktar Radin – yang dalam kempen lalu melabel kerajaan GRS ketika itu sebagai “kerajaan gagal”.
Selain 12 Adun GRS, lima wakil rakyat bebas – Maijol Mahap, Jordan Angin, Rina Jainnal, Fairuz Renddan dan Awang Ahmad Sah Sahari – difahamkan menyertai kumpulan tidak berpuas hati itu, mewujudkan potensi blok penentang yang besar dalam DUN Sabah.
Di pihak GRS, tiga Adun dikenal pasti secara jelas melalui hantaran masing-masing atau sumber dalaman adalah Masiung Banah (Kuamut), Ruddy Awah (Pitas) dan Isnin Aliasnih (Klias).
Masiung tidak menyembunyikan rasa tidak puas hatinya. Di laman media rasminya, dia menulis:
“(Sebanyak) 12 kerusi GRS kini berpotensi menjadi kerusi pilihan raya kecil, termasuk Kuamut.”
Di Facebook peribadi pula, dia menambah: “Saya akan panggil sidang media tidak lama lagi.”
Hantaran itu tular dengan pantas, menimbulkan spekulasi sama ada beberapa Adun sedang mempertimbangkan peletakan jawatan beramai-ramai sebagai ugutan politik.
Namun, bawah undang-undang antilompat Sabah, kenyataan itu tak sepenuhnya tepat – Adun GRS tidak hilang kerusi hanya kerana menarik sokongan daripada ketua menteri selagi tidak meletak jawatan daripada parti.
Satu mesej tular – dipercayai dari saluran WhatsApp bahagian GRS – mendakwa Isnin Aliasnih keluar dari Istana Seri Kinabalu ketika senarai kabinet dimuktamadkan.
Malaysiakini belum dapat mengesahkan dakwaan itu, sementara semua Adun berkenaan tidak menjawab panggilan dan mesej.
Namun sikap membungkam mereka hanya menambah persepsi wujudnya perpecahan yang semakin melebar.
Gambar beberapa Adun makan malam bersama di sebuah hotel turut tular, mencetuskan lebih banyak spekulasi. Ketika ditanya, salah seorang daripada mereka hanya menjawab ringkas:
“Kami minum kopi saja.”
Cubaan Malaysiakini untuk menghubungi mereka juga tidak berjaya, manakala beberapa Adun memilih meluahkan rasa tidak puas hati melalui kapsyen samar-samar di Facebook, status WhatsApp, dan tangkap layar yang disebarkan.
Pemerhati politik lama melihat corak ini sebagai strategi tekanan terkoordinasi – biasanya langkah awal untuk tawar-menawar jawatan dalam kerajaan.
Malam tadi, Setiausaha Agung GRS Armizan Ali mengeluarkan peringatan tegas bahawa pentadbiran negeri tidak boleh digugat melalui ugutan dari WhatsApp atau sindiran politik di media sosial.
Tanpa menyebut nama, Armizan menegaskan bahawa kerajaan mesti dibentuk melalui pengorbanan politik dan tidak semua mereka boleh diwakili dalam lantikan kabinet fasa pertama.
Dia memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh menjejaskan keyakinan rakyat dan menggugat kestabilan kerajaan yang baru sehari dibentuk.
Armizan turut menolak dakwaan bahawa kemasukan tokoh parti nasional menggugat kerangka ‘Sabah didahulukan’ dan berkata, pelan susunan kerusi lebih besar diperlukan untuk memastikan kerajaan stabil dan berfungsi.
Setakat ini, rasa tidak puas hati hanya sekadar di alam maya. Tiada Adun secara rasmi keluar GRS atau menarik sokongan kepada Hajiji.
Namun keretakan yang semakin terbuka ini menunjukkan wujud isu lebih mendalam berkaitan identiti, perwakilan, dan makna sebenar politik ‘Sabah didahulukan’ apabila pemimpin nasional menganggotai kabinet.
Hajiji kini memiliki sokongan sekurang-kurangnya 46 Adun. Tetapi jika 12 Adun GRS dan lima Adun bebas ini menarik sokongan, angka kerajaan akan jatuh bawah 37 kerusi, menyebabkan pentadbiran terancam runtuh.
Setakat ini, semua kemarahan hanya berlaku di alam maya — belum diterjemahkan kepada sebarang tindakan.
Yesterday, 02:58 PM, updated 11h ago
Quote


0.0257sec
0.64
5 queries
GZIP Disabled