https://harakahdaily.net/2025/08/tindakan-i...s-wong-dikecam/

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mengecam tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berulang kali memanggil Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun untuk disoal siasat berhubung ulasan video mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
“Saya ikuti video-video yang dihasilkan oleh Wong Siew Mun, semuanya bersifat pendedahan fakta dan membangkitkan persoalan sahaja. Ia bukan fitnah dan tohmahan tidak berasas semata-mata. Sewajarnya ia dijawab dengan hujah dan fakta juga, bukan dengan tindakan intimidasi seperti ini.
“Tindakan berulang kali memanggil beliau untuk soal siasat seperti ini merupakan tindakan yang tidak beretika. Solidariti untuk beliau,” katanya.
Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan bahawa Wong telah dihubungi pegawai penyiasat SKMM pada jam 10.16 malam semalam dan diminta hadir ke ibu pejabat SKMM di Cyberjaya pada jam 11.30 pagi ini.
Wee berkata Wong cuba memohon tarikh lain, namun pegawai terbabit menjelaskan arahan tersebut datang daripada pihak atasan agar rakaman percakapan tetap dijalankan pada hari ini juga, meskipun ia merupakan cuti umum sempena Hari Kebangsaan.
“SKMM, sila jawab apa yang ‘urgent’ sangat?” soal Wee dalam catatan Facebook.
Menurut notis yang dikongsikan, Wong disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkait penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi.
Ini merupakan kali kedua Wong berdepan siasatan. Pada bulan Jun lalu, beliau disoal siasat polis dan telefonnya turut dirampas selepas membangkitkan isu projek pengumpulan data mudah alih Putrajaya.
RUU PSB yang dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 21 Ogos lalu telah menimbulkan bantahan daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta masyarakat awam.
Bacaan kedua rang undang-undang itu berlangsung pada 28 Ogos tetapi perbahasan serta pengundian ditangguhkan ke Mesyuarat Dewan Rakyat pada Oktober depan selepas kerajaan memberi jaminan untuk menambah baik peruntukan yang dicadangkan. – HARAKAHDAILY 31/8/2025
Sep 2 2025, 12:09 PM, updated 3 months ago
Quote

0.0167sec
0.47
5 queries
GZIP Disabled