JAS siasat punca ikan mati di Bagan Datuk
Laporan Sinar Harian berhubung ribuan ikan mati di parit Kampung Sungai Payung dan Sungai Tiang Baroh.
BAGAN DATUK – Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian ikan mati di parit Kampung Sungai Payung dan Sungai Tiang Baroh di sini pada Selasa.
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, pihak JAS menerima aduan berhubung kejadian tersebut daripada seorang penduduk kampung yang hadir sendiri ke pejabat JAS Cawangan Teluk Intan kira-kira jam 12.50 tengah hari pada Selasa.
Menurutnya, susulan itu pasukan JAS Cawangan Teluk Intan ke lokasi kejadian setelah memaklumkan kepada Unit Aduan JAS Perak mengenai perkara tersebut.
“Pengadu memaklumkan penemuan banyak ikan mati dipercayai spesies talapia di parit hadapan rumahnya seawal jam 7 pagi.
"Berdasarkan siasatan awal, aduan tersebut berasas dan pemerhatian mendapati air parit berkenaan kelihatan merah keruh serta tenang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kok Lim berkata, pasukan JAS yang tiba di lokasi kira-kira jam 2.35 petang turut mendapati nilai pH air berada antara 7 hingga 8.
Menurutnya, penduduk sekitar juga memaklumkan turut menemui ikan mati dan mengesyaki kemungkinan punca pencemaran berpunca daripada operasi sebuah kilang memproses belacan yang terletak di kawasan hulu sungai.
Beliau berkata, pegawai penyiasat telah menyusuri dua lokasi di bahagian hulu sungai iaitu di Kampung Tebuk Imam dan satu lagi lokasi berhampiran seperti didakwa penduduk.

Ribuan bangkai ikan yang timbul dalam parit di Kampung Sungai Tiang Baroh dan Kampung Sungai Payung.
“Hasil pemerhatian di Kampung Tebuk Imam mendapati air kelihatan merah dan tiada kelibat ikan manakala lokasi kedua menunjukkan air sungai utama cerah tetapi parit berhampiran berwarna merah.
“Kerja-kerja penambakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut dikenal pasti di kawasan hulu namun lokasi projek tersebut agak jauh dan dipercayai bukan punca kejadian,” katanya.
Kok Lim memaklumkan, persampelan air telah dilakukan di lokasi kejadian dan bacaan kualiti air menggunakan alat khas akan diteruskan pada Rabu bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan pegawai di lapangan juga telah meninjau kawasan kilang belacan yang dimaksudkan, namun tidak menemui ikan mati di kawasan tersebut, tetapi air parit di sekitar kilang kelihatan keruh.
“Fokus siasatan esok (Rabu) adalah mengenal pasti sama ada terdapat sebarang pelepasan daripada kilang berkenaan yang mungkin mengalir ke parit penduduk.
"JAS akan memaklumkan semula hasil siasatan penuh dan bacaan status kualiti air sungai yang bakal diperoleh dalam masa terdekat," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penduduk di dua kampung berkenaan gempar apabila sejumlah bangkai ikan timbul di dalam parit berhampiran kampung berkenaan dipercayai akibat pencemaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!