https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/...seorang-selamatSHAH ALAM: Tiga termasuk seorang kanak-kanak 3 tahun maut dan sepasang suami isteri masih hilang apabila bot yang dinaiki mereka terbalik di Perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, dekat sini petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, dalam tragedi kira-kira 4.30 petang itu, bot yang terbalik dinaiki enam individu warga tempatan, namun hanya seorang selamat setakat ini.
Menurut siasatan awal, bot terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di perairan berkenaan pada jarak kira-kira 0.3 batu nautika di barat Tanjung Harapan.
"Sepasukan anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor meneruskan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan pasangan suami isteri yang masih hilang pada jam 7 pagi ini selepas ditangguhkan pada jam 8 malam tadi.
"Operasi itu diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada jam 5.16 petang selepas menerima laporan kejadian berkenaan.
"Mangsa yang belum ditemui dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, masing-masing berasal dari Klang Utama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, pasangan itu dilaporkan berada di atas bot bersama anak mereka, Darren Gan, 3.
"Siasatan mendapati, anaknya ditemui berada di ruang hadapan bot itu bersama seorang lelaki dewasa, Cheu Son Hin, 50, namun kedua-dua disahkan meninggal dunia.
"Seorang lagi mangsa lelaki yang berada dalam bot itu dan ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian adalah rakan mereka, Fong Yong Sen, 29, dan mangsa yang selamat dikenali Chang Yan Qin Alvin, 17.
"Bot yang terbalik itu ditunda oleh bot penumpang lain dan dibawa ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor," katanya.
Beliau berkata, Operasi CARILAMAT digerakkan dengan penglibatan aset Maritim Malaysia bersama agensi sahabat termasuk Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta dibantu bot penumpang yang berada berhampiran lokasi.
"Operasi CARILAMAT ditangguhkan ke jam 7 pagi ini dan pihak JBPM akan membuat penyelaman untuk pencarian semula kerana sebahagian ruang bot itu dipenuhi lumpur.
"Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) turut diwujudkan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor bagi menyelaras semua tindakan mencari dan menyelamat.
"Maritim Malaysia turut mengingatkan orang awam sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, termasuk pemakaian jaket keselamatan dan memantau keadaan cuaca semasa," katanya.
Tambah beliau, sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan di laut boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 atau MERS 999 untuk tindakan segera.