Kuala Nerus: Pemilik banglo biru di Kampung Tanjung, Batu Rakit dekat sini, yang sebelum ini terjejas akibat hakisan pantai, kini mampu tidur lena selepas pihak berkuasa melakukan kerja menambak tanah di sekitar kediaman itu.
Pemiliknya, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, kerja-kerja menambak pantai di belakang rumahnya giat dijalankan sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, kontraktor menggunakan kaedah tambakan menggunakan bongkah batu dan tanah bukit bagi menguatkan struktur tambakan itu di sekeliling rumahnya.
Katanya, kerja-kerja menambak pantai bukan saja dilakukan di belakang rumahnya, malah di sepanjang pantai Kampung Tanjung, yang terhakis akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda akhir tahun lalu.
"Alhamdulillah, melihat perkembangan ini saya sudah mampu tidur lena kerana sebelum ini berdepan kegusaran kerana bimbang rumah ini akan roboh dibadai ombak laut.
"Sebelum ini, setiap kali air pasang besar pastinya mendatangkan kebimbangan kerana sebahagian struktur rumah sudah terhakis," katanya.
Menurutnya, dia berharap tambakan menggunakan bongkah batu di sekeliling rumahnya dapat membantu mengurangkan impak hakisan hingga menyebabkan kerosakan pada rumahnya.
Mohd Yazit berkata, tidak sampai enam bulan dari sekarang dia akan berdepan dengan musim MTL yang membawa kepada angin kencang dan ombak besar.
Justeru, dengan persiapan membina tambakan bongkah batu itu, ia dilihat akan mengurangkan risiko kerosakan.
May 26 2025, 07:19 PM, updated 7 months ago
Quote
0.0142sec
0.72
5 queries
GZIP Disabled