Polis tahan 7 lelaki, seorang wanita bantu siasatan kes pukul di Johor Bahru
JOHOR BAHRU – Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang pemuda dipukul sekumpulan lelaki di sebuah perumahan pangsapuri Plentong Baru, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 21 tahun pada Sabtu lalu.
“Kejadian berlaku pukul 9.30 malam. Hasil siasatan mendapati mangsa pergi ke rumah pangsapuri tersebut atas jemputan seorang wanita kenalan melalui aplikasi media sosial.
“Setelah sampai ke dalam rumah mangsa dikurung dan dipukul serta dicederakan oleh lapan lelaki tempatan.
“Akibat kejadian tersebut mangsa mengalami luka di bahagian bibir, telinga kiri dan sakit akibat bengkak badan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 2.30 pagi kelmarin sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 26 tahun.
Jelasnya, lima daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil ujian air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, semua suspek ditahan reman selama enam hari bermula kelmarin hingga 26 April ini dan kes disiasat bawah Seksyen 342, 385 dan 324 Kanun Keseksaan.
Semalam, tular dalam media sosial video memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu dalam sebuah rumah.
Difahamkan mangsa bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang.
Ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum menerima pesanan ringkas kira-kira pukul 5 petang Jumaat lalu daripada seorang wanita yang meminta supaya dia menemaninya di rumah sewa di Plentong.
Mangsa tiba di rumah tersebut pukul 9.30 malam dan tidak lama kemudian, tiga lelaki tidak dikenali datang ke rumah itu, seorang daripadanya dipercayai membawa senjata.
Susulan itu, tiga lagi lelaki keluar dari sebuah bilik dan bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai, termasuk menggunakan kayu.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Plentong, Seri Alam pukul 11.14 malam, Sabtu lalu. – MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2025/04/22/poli...di-johor-bahru/kutip'd already