
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan dasar pemberian tol percuma sepanjang 2024 untuk semua perayaan utama negara, termasuk Aidilfitri yang akan disambut bulan depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, bagi mengimbangi perbelanjaan perlu ditanggung kerajaan, bermula tahun ini, pengecualian tol hanya diberi kepada kenderaan persendirian saja iaitu kenderaan kelas satu.
"Sementara untuk kenderaan kelas lain seperti kenderaan komersil, tiada sebarang pengecualian tol diberikan memandangkan harga tiket yang dibayar oleh penumpang tidak menunjukkan sebarang penurunan yang ketara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat.
Alexander berkata, pemberian pengecualian tol bagi tahun lalu membabitkan 53.91 juta transaksi tol dengan anggaran pampasan yang perlu ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM206.19 juta.
Daripada jumlah itu katanya, pampasan sebanyak RM41.21 juta diberi sempena Tahun Baharu Cina, sementara Hari Raya Aidilfitri (RM80.07 juta); Deepavali (RM42.31 juta) serta RM42.60 juta sempena Krismas.
"Pengecualian tol sempena musim perayaan ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan dalam meraikan hari perayaan masing-masing bersama keluarga tercinta di kampung halaman," katanya.
Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri 10 April depan.
Bulan lalu, tol percuma diberikan selama dua hari iaitu pada 8 Februari dan 9 Februari, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Mar 27 2024, 07:41 PM, updated 2y ago
Quote
0.0160sec
0.85
5 queries
GZIP Disabled