4 Tampil Nafi Dakwaan Yusuf Azmi —HMetro» Click to show Spoiler - click again to hide... «
Kuala Lumpur: Empat bekas kakitangan yang didakwa membocorkan maklumat dan rahsia syarikat diuruskan Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi, tampil menafikan dakwaan itu.
Keempat-empat bekas kakitangan syarikat Risk Group Management and Consultancy, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa, Muhammad Fadhrul Yusoff, Mohd Aliff Muhammad Iberahim dan Sairin Tuah menafikan setiap dakwaan dibuat Yusuf ketika membuat laporan polis, Isnin lalu.
Syed Alwi berkata, dakwaan itu tidak berasas dan dianggap sebagai fitnah untuk memburukkan serta memalukan mereka.
“Yusuf kata kami ada niat untuk sabotaj syarikat, sebenarnya kami tiada langsung niat untuk mengkhianati mana-mana pihak.
“Cuma dalam kes seorang wanita yang menuntut wangnya dikembalikan selepas mendakwa syarikat berkenaan gagal menguruskan hutangnya dengan along, saya tampil membantunya kerana saya mengesan ada keraguan dalam urusan pembayaran itu.
“Saya sudah bekerja selama dua bulan sebagai pegawai penyiasat dan dalam tempoh dua bulan itu saya tidak pernah mengetahui kewujudan syarikat berkenaan, sangkaan saya, saya bekerja untuk Unit Tindakan Khas PPIM,” katanya.
Selain tampil untuk membersihkan nama, mereka turut mendedahkan modus operandi syarikat berkenaan untuk mengaut keuntungan daripada pinjaman yang dibuat oleh pengadu.
Syed Alwi mendakwa, syarikat berkenaan akan menetapkan jumlah pinjaman yang perlu dibayar kepada along terlebih dulu sebelum mengenakan kos pembayaran lebih tinggi kepada pengadu atau mangsa along.
“Sebagai contoh, kes membabitkan seorang wanita pada Khamis lalu, dia dimaklumkan jumlah perlu dibayar kepada 64 along adalah RM350,000, namun jumlah sebenar yang perlu dibayar kepada along terbabit hanya RM160,000.
“Di sini wujud keraguan, disyaki ada untung yang tersembunyi dibuat, saya pernah menasihati Iman Azmi, iaitu adik kepada Yusuf berhubung perkara ini, apa yang berlaku ini saya rasa macam satu bentuk kezaliman dan penindasan ke atas pengadu, namun tidak diendahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Fahdrul berkata, dia turut membuat satu laporan polis selepas merasakan dirinya diancam oleh Yusuf dan kakitangan lain yang masih berkhidmat di syarikat berkenaan.
“Pada hari sama Yusuf membuat laporan polis, saya juga membuat satu laporan polis kerana selepas insiden pada Khamis lalu, Yusuf menuduh saya sebagai dalang yang mendedahkan dokumen milik syarikat,” katanya.
Harapkan pegar, pegar makan padi