QUOTE(zimhibikie @ Jul 13 2007, 02:39 PM)
Congratz buat Kedah..
Buat Mie, players Kedah kena berhijrah ke Pahang, baru pastu leh main utk Malaysia huhu
ako tak kesah la mana team pon cikgu jan amek. asalkan player tu power.
power bukan takat fizikal fitness ja tp mentality mau tinggi gak. . tactic ako rasa depa ada, cuma nak melaksanakan tactic tu ja depa failed, kena la brilliant sket pemikiran tu. tau bila nak pakai strategi ni.
stakat nak maen sepak bola passing² baek ako tgk kat padang taman ako ja.

bro
abracadabra dari forum
HijauKuning.com mmg best dia punya nukilan..
» Click to show Spoiler - click again to hide... «
APA YANG DISEMAI, ITULAH YANG DITUAI!
Ketika menaiki sebuah teksi di Bandaraya Seoul dalam tahun 70an, seorang wartawan telah ditanya oleh pemandu teksi tersebut dari manakah berasal. Dan ketika diberitahu dari Malaysia, spontan pemandu teksi itu menyebut:
"Mokhtar Dahari!"
Menyorot kembali jejak-jejak silam yang telah sekian lama kita tinggalkan, peminat bolasepak tempatan manakah yang tidak mengenali lagenda bolasepak 'Supermokh?' Beliau ibarat seniman agung P. Ramlee di dalam dunia bolasepak, yang sehingga kini masih lagi tiada pengganti. Memperkatakan bolasepak tempatan tanpa menyebut sumbangan Allahyarham, adalah suatu keganjilan yang nyata!
Sebenarnya Malaysia memiliki pelbagai ramuan untuk muncul sebagai sebuah pasukan yang sempurna serta disegani pada waktu itu. Generasi terdahulu tentunya tidak akan dapat melupakan aksi Spiderman Arumugam di gawang, Towkey Chin Aun dan Santokh mengawasi benteng pertahanan, Shukur Salleh yang mirip pemain Argentina Oswaldo Ardilles tenang dan bijak membaca permainan, Choon Wah mengemudi di barisan tengah, gandingan berbisa Mokhtar dan Isa di posisi serangan serta di bantu oleh pakar sepakan sudut Abdullah Ali. Nama-nama itulah yang telah pernah menggegarkan persada bolasepak tempatan dan antarabangsa serta cukup digeruni pada waktu itu.
Seteru utama pasukan kita pada waktu dahulu adalah Korea Selatan. Pertembungan kedua-dua pasukan di dalam pertandingan Pestabola Merdeka khususnya amatlah dinanti-nantikan. Persaingan sengit di padang selalunya hanya berakhir dengan kemenangan atau kekalahan tipis yang menyebelahi mana-mana pasukan. Tiada siapa pun yang boleh mendabik dada. Di sanalah Cha Beum Keum dan Mokhtar Dahari beradu kekuatan. Mereka adalah lawan yang sekufu lagi sepadan.
Pasukan Jepun menyusul kemudian. Pertarungan Malaysia-Jepun selalunya berpihak kepada pasukan kita. Satu nama yang tidak dapat saya lupakan sampai saat ini ialah penyerang Kunishige Kamamoto. Apakah beliau sekarang masih lagi aktif pembabitannya di dalam sukan bolasepak sebagaimana saingan seangkatannya Beum Keum?
Thailand, Burma dan Singapura hanyalah sekadar pasukan tempelan yang juga ibarat 'lauk' untuk santapan pasukan Malaysia. Seingat saya, amat sukar dan agak ganjil untuk melihat pasukan kita mengalami kekalahan kepada pasukan-pasukan tersebut. Begitulah hebatnya kita pada waktu itu!
Di Asia, Hong Kong adalah antara negara terawal yang memperkenalkan Liga Bolasepak Profesional. Pembabitan negara-negara Arab dan China di dalam kancah sukan bolasepak pula adalah masih baru jika dibandingkan dengan Malaysia.
Kini ketika negara-negara Arab dan China sudah jauh meninggalkan kita meski pun ada di kalangan negara-negara tersebut pernah mengalami peperangan di samping iklim politik yang tidak menentu, nampaknya kita hanya mampu mengikuti jejak langkah Hong Kong yang terus merudum, langsung tidak menunjukkan kematangan setaraf dengan usia pembabitan di dalam bolasepak!
Menyaksikan Malaysia diaibkan oleh pasukan China di dalam pertandingan Piala Asia baru-baru ini, sebenarnya itu semua bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Aksi longlai, tiada berimaginasi serta lemah gemalai penuh sopan santun bak tari inang sebagaimana yang dipertontonkan, membuktikan pasukan kita terlalu jauh terkebelakang dari segenap sudut baik dari aspek taktikal, fizikal, mental atau pun spiritual.
Sebenarnya pada hemat saya aksi pasukan Tembuk Besar itu tidaklah sehebat mana. Cuma kitalah yang semakin lemah. Sinikalnya, sewaktu orang lain memecut kehadapan, kita mengambil langkah untuk terus berundur kebelakang.
Jangan salahkan pemain-pemain kita yang telah berhempas pulas mencuba sedaya upaya untuk menyaingi dan mengimbangi pemain-pemain China. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Apa yang disemai, itulah yang dituai. Adalah tidak wajar andainya kita mengharapkan limpahan gandum sedangkan sejak sekian lama hanyalah rimpunan lalang yang telah kita tanam serta bajai!
Pada waktu ini tatkala ramai pemain-pemain Korea Selatan, Jepun dan China berlumba-lumba mengibarkan sayap memungut pengalaman untuk mencipta nama bermain dengan kelab-kelab ternama di Eropah, dalam masa yang sama kita masih lagi terkial-kial dan terkulat-kulat hanyalah di pentas peringkat saingan Asia Tenggara. Setelah puluhan tahun menyepak bola, masih di takuk itu lagi kita rupanya!
Mengapa pula pasukan Malaysia mampu melolos untuk menempatkan diri sebagai salah sebuah pasukan handal serta disegani suatu ketika dahulu? Formulanya cukup mudah. Pasukan bolasepak negara pada ketika itu telah diurus dan ditadbir selia dengan telus, tulus, luhur, jujur serta penuh tanggungjawab. Semua yang dilakukan adalah hanya demi negara, bukan lantaran mengejar pengaruh, populariti atau pun untuk kepentingan diri sendiri. Itulah sebenarnya kunci kejayaan. Didikan yang cemerlang lagi ikhlas sering tidak akan mengecewakan serta akan menghasilkan sesuatu yang juga cemerlang.
Kontroversi juga tidak pernah kedengaran. Pendokong bolasepak dahulu bersikap terbuka, optimis serta sentiasa berusaha mengintai peluang kearah menjana kejayaan meski pun berada di dalam keadaan serba kekurangan. Mereka menjadi akrab dengan kesukaran. Kesukaranlah yang sebenarnya mematangkan mereka!
Sekarang? Sejujurnya bolasepak sekarang bukan lagi dilihat sebagai suatu cabang sukan yang tulin tetapi lebih condong kepada komoditi lantas diambil kesempatan oleh mereka yang rakus untuk digunakan sebagai platform bagi meraih keuntungan peribadi. FAM pula dilihat memperkenalkan corak kepimpinan dinasti, politiking, pesimis, mengamalkan dasar 'tutup pintu' serta menganggap sesuatu teguran adalah sebagai ancaman. Ancaman pula adalah virus. Virus mesti segera dihapuskan!
Masa akan terus datang dan pergi silih berganti. Ketika generasi seusia saya sudah pun menutup mata dan anda generasi sekarang sudah menjadi beransur tua, tatkala itu belum pasti lagi anda akan dapat menikmati saat-saat kebangkitan pasukan bolasepak kita di pentas antarabangsa. Itulah realiti yang terpaksa anda telan dan terima!
Sehubungan itu, 'pembubaran perdana' badan induk yang menerajui bolasepak negara adalah wajar dan dilihat sebagai jawapan paling tepat untuk merawat segala duka nestapa yang sudah ditanggung sejak sekian lama. Ayuh FAM, sahutlah cabaran ini. Jika 'pembubaran perdana' ini dapat menyelamatkan maruah bolasepak kita dari terus tercalar, mengapakah tidak berani berkorban demi untuk negara tercinta?
Dan kini andainya anda sebagai pelancung dan ditanya dari manakah berasal ketika menaiki teksi di Bandaraya Seoul, maka jawablah:
"Malaysia!"
Apakah yang akan disebut oleh pemandu teksi tersebut setelah mendengar jawapan anda?
Apa? Azizon Kadir?
Hah, jangan buat lawak!
-abracadabra
This post has been edited by Mie: Jul 22 2007, 02:04 PM