KUANTAN 19 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyifatkan sistem turbo yang dipasang pada enjin kereta bagi tujuan mempertingkatkan kuasa kelajuan umpama ‘perangkat maut’ kepada pemiliknya.
Pengarah Penguat kuasa JPJ Pusat, Salim Parlan menegaskan, JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik kereta yang mengubahsuai enjin kenderaan mereka termasuk pemasangan sistem turbo itu.
‘‘Pada masa ini, JPJ mengesan semakin ramai pemandu muda yang ghairah memasang sistem turbo pada enjin kereta mereka dengan tujuan bagi meningkatkan prestasi enjin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersama Pengarah JPJ Pahang, Datuk Zakaria Man mengadakan operasi pemeriksaan JPJ secara serentak di tiga lokasi berasingan di sini malam tadi.
Menurut Salim, perbuatan pemandu tersebut boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada para pengguna kenderaan lain.
Beliau menjelaskan, JPJ mendapati sistem turbo yang dipasang, kerap kali mampu meningkatkan prestasi enjin melebihi 25 peratus kapasiti asal dan ini menjadikan kenderaan yang dinaiki akan menjadi tidak seimbang.
‘‘Kapasiti enjin yang terlalu tinggi berbanding kemampuan enjin ‘standard’ selepas penambahan sistem turbo menyebabkan ramai pengguna mengalami kemalangan akibat kegagalan melakukan brek dan kenderaan terbabas akibat kelajuan yang terlampau,” jelasnya.
Apa yang lebih membimbangkan, kata Salim, trend itu turut menular di kalangan pengguna kenderaan kecil seperti Kancil dan Kelisa.
Menurut beliau, dalam sesetengah kes, kemampuan kenderaan dapat dipertingkatkan daripada 850cc kepada 1,000 cc menggunakan sistem turbo.
‘‘Apabila kemampuan kuasa kuda dipertingkatkan melebihi 25 peratus, pengguna perlu merujuk kepada bahagian teknikal JPJ untuk mendapatkan kebenaran dan pemeriksaan komponen demi komponen perlu dilakukan,” katanya.
Tambah Salim, apabila sistem turbo diperkenalkan pada sistem enjin asal, wujud pelbagai perubahan sokongan termasuk sistem brek dan suspensi yang turut perlu dilakukan.
Jika tidak, kata beliau, kenderaan terbabit akan bergerak pada kelajuan yang melampau, tetapi memiliki kemampuan membrek bagi kelajuan yang lebih rendah.
Namun, ujar beliau, apa yang berlaku kini ialah pengguna hanya menambah sistem turbo dan mengabaikan aspek-aspek lain.
Jelas Salim, ramai pengguna sebenarnya menyedari hakikat bahaya yang wujud melalui pemasangan sistem turbo, tetapi enggan bertemu pihak JPJ kerana bimbang tidak diberikan kebenaran.
‘‘Kalau perubahan di bawah 25 peratus, cukup dengan sekadar mendapatkan kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), tetapi jika lebih, IA perlu mendapatkan kebenaran JPJ,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kenderaan yang dipertingkatkan kuasa tanpa kebenaran JPJ akan disenaraihitamkan.
Sementara itu, dalam operasi tersebut, JPJ telah mengeluarkan lebih 140 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita sebuah kenderaan kerana menggunakan cukai jalan palsu.
So then if you add BOT along with upgrade your brakes to 4/6pots, use sport suspension, chassis strengthening bars etc2. then they should not summon you la coz the car will still be balanced between power, braking, and handling, right?