Pemegang kad Maybank boleh tebus perbatuan Asia menerusi mata Treats Maybank menjalin usaha sama dengan Asia Miles, program ganjaran perjalanan dan gaya hidup utama yang membolehkan pemegang kad Maybank di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina, menebus perjalanan dan mata Treats masing-masing.
Pemegang kad Maybank kini boleh menggunakan kad Maybank dan menukarkan mata Treats untuk menebus pelbagai ganjaran daripada Asia Miles.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Maybank berkata bagi meraikan usaha sama itu, bonus tambah nilai 33% akan ditawarkan kepada pemegang kad apabila mereka menukar mata Treats kepada Asia Miles mulai hari ini hingga 28 Februari.
Ketua Kumpulan Kad dan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank B Ravintharan, berkata kini terdapat lebih 2.6 juta pemegang kad kredit Kumpulan Maybank di 4 negara.
"Usaha sama dengan Asia Miles akan menampung pemegang kad kami yang kerap membuat perjalanan dan mereka akan menikmati kadar pertukaran yang menarik.
"Dengan memanfaatkan rangkaian luas 25 rakan syarikat penerbangan Asia Miles, pemegang kad Kumpulan Maybank kini boleh menikmati lebih banyak pilihan ganjaran penerbangan menerusi pertukaran mata Treats kepada Asia Miles," kata Ravintharan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Miles Stephen SY Wong berkata Asia Miles kini mempunyai lebih daripada 30 rakan kewangan dan insurans, dan usaha sama dengan Maybank akan memperkukuh kedudukan kewangannya selain meluaskan kehadirannya di Asia Tenggara. – Bernama, 19 Januari, 2015.
SourceThis post has been edited by victorywp: Jan 19 2015, 07:23 PM