http://www.bharian.com.my/bharian/articles...malagi/Article/Ekonomi
Jajaran MRT2 diumum tidak lama lagi
Jajaran terperinci bagi projek Laluan 2 My Rapid Transit (MRT2) Lembah Klang akan diumumkan kerajaan tidak lama lagi, kata Ketua Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid.
Beliau berkata, ia sebaik kerajaan berpuas hati dengan cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung jarak jajaran serta jenis pembinaan yang bakal terbabit di bawah projek itu.
Pembinaan MRT2, katanya akan dibuat dengan teliti dan tidak tergesa-gesa bagi memastikan ia dilaksanakan dengan teratur, sempurna dan mengikut jadual serta kos ditetapkan.
Kerajaan sedang menunggu perincian lengkap mengenai cadangan pembinaan MRT2 yang bakal dikemukakan SPAD dalam tempoh terdekat ini. Pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat sebaik semua perkara yang dikemukakan dalam cadangan SPAD itu diluluskan.
Apa yang penting, sebelum pengumuman dibuat, kami (kerajaan dan MRT Corp) akan meneliti terlebih dulu semua cadangan SPAD bagi memastikan pembinaan MRT2 kelak dapat dilaksanakan dengan berkesan sejajar dengan ketersediaan semua sumbernya seperti tenaga kerja, teknologi dan kewangan, katanya kepada media selepas pelancaran mesin pengorek terowong (TBM) pelbagai ketumpatan (VD) bagi kegunaan projek MRT Lembah Klang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur, semalam.
Azhar berkata demikian ketika ditanya mengenai status dan persediaan MRT Corp sebagai pemilik dan pengendali MRT Lembah Klang dalam melaksanakan pembinaan MRT2 berdasarkan kemajuan agihan kontrak kerja bagi Laluan 1 (MRT1) sebelum ini yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang.
Serah kualiti terbaik
Azhar berkata, kerajaan dan MRT Corp juga tidak akan terburu-buru atau lambat dalam melaksanakan pembinaan MRT2 bagi memastikan ia dapat diserahkan dengan kualiti terbaik bagi memenuhi keperluan pengangkutan penduduk di Lembah Klang.
Difahamkan, SPAD kini dalam peringkat perancangan akhir serta penilaian mengenai jajaran laluan untuk MRT2 itu yang bakal menjadi antara pelengkap kepada pembangunan rel bandar di bawah Pelan Induk Pengangkutan Lembah Klang Greater Kuala Lumpur.
Mengenai kemajuan MRT1, Azhar berkata, ia sudah mencapai tahap 14 peratus sejak kerja asasnya dimulakan pada Mac tahun lalu.
Beliau berkata, pembinaan projek MRT1 laluan Sungai Buloh-Kajang yang bakal membabitkan jarak 51 kilometer dengan 31 stesen perhentian, kini berjalan lancar dan akan siap mengikut jadual dan kos asal.
MRT1 (Sungai Buloh-Kajang) membabitkan dua fasa, iaitu Sungai Buloh ke Semantan (fasa satu) dan Semantan ke Kajang (fasa dua).
Fasa pertama akhir 2016
Kami yakin dapat menyiapkan pembinaan fasa pertama pada akhir 2016, manakala fasa kedua pula menjelang Julai 2017, katanya sambil menambah pelaksanaan MRT1 menepati bajet ditetapkan dengan kos pembinaan sebanyak RM23 bilion.
Sementara itu, Azhar berkata, TBM VD, iaitu mesin yang pertama seumpama di dunia akan digunakan bagi pembinaan dan penyudahan kerja bawah tanah, antara Portal Utara Semantan dan Portal Selatan Maluri Laluan Sungai Buloh-Kajang.
10 mesin TBM milik MMCGamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, iaitu kontraktor yang dilantik bagi kerja pembinaan struktur bawah tanah, akan digunakan bagi semua kerja pembinaan terowong MRT1.
Enam daripada 10 TBM itu ialah mesin TBM VD yang bernilai RM50 juta setiap satu, manakala dua lagi mesin keseimbangan tekanan bumi, katanya sambil menambah kerja pembinaan semua terowong bawah tanah itu akan membabitkan laluan sepanjang 9.5 kilometer dari kawasan Cochrane, Kampung Pandan hingga ke Pasar Rakyat di ibu negara.